Tuesday, January 31, 2006

Oleh A. Mohd. Rahimin Sihat


Hijrah merupakan satu peristiwa agung yang penuh dengan perjuangan dan teladan
yang tidak akan dilupakan oleh umat Islam kerana hijrah itu adalah sumber ilham
bagi perjuangan umat Islam di setiap zaman.


Peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w. bersama sahabat-sahabatnya dari Mekah ke
Madinah juga merupakan suatu usaha yang berani dan bersungguh-sungguh demi
menyelamatkan akidah dan iman yang dianugerahkan Allah s.w.t. kepada umat Islam
ketika itu.


Bukan setakat itu sahaja, penghijrahan mereka juga kerana membawa risalah
dakwah untuk saudara-saudara mereka di Madinah dan untuk generasi seterusnya
seperti kesannya yang kita nikmati sehingga ke hari ini.


Setiap tahun umat Islam di negara ini tidak ketinggalan mengadakan majlis
sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan. Tetapi adakah dengan mengadakan
majlis tersebut sudah mencukupi?


Apa yang penting ialah kita mengambil pengajaran dan faedah daripada
peristiwa tersebut untuk dihayati dan menjadi amalan hidup kita sebagai umat
Islam. Kerana dengan cara demikian sahajalah kita boleh menjadi umat contoh,
mulia dan maju dalam semua aspek kehidupan.


Sebagai umat Islam, kita mempunyai ruang lingkup yang amat luas untuk
mempamerkan diplomasi dan toleransi beragama, terutama sebagai rakan politik,
ekonomi dan sosial. Kita boleh menampilkan kebaikan Islam di majlis sambutan
hari raya, hari kebesaran negara, pergaulan di sekolah, di tempat kerja dan
kawasan perumahan sebagai jiran tetangga.


Cuba kita renung peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w bersama para sahabat dan
pengikut membuka lembaran sejarah paling agung bukan sahaja dalam perkembangan
agama Islam, tetapi juga tamadun manusia pada keseluruhannya.


Dengan adanya hijrah Rasulullah s.a.w maka lahirlah negara Islam pertama
Madinah yang melahirkan satu umat yang bersatu padu dan bersaudara, dihormati
dan menjadi contoh bahkan dapat melahirkan kemakmuran yang dinikmati oleh
rakyatnya secara adil. Sementara dari segi ekonomi seperti riba, penipuan,
kezaliman dan perniagaan yang tidak amanah adalah diharamkan.


Begitulah sistem Islam yang dijalankan dan dilaksanakan oleh kerajaan Islam
pertama Madinah yang berjaya menjadi contoh kepada seluruh umat manusia. Tanpa
adanya hijrah Rasulullah s.a.w sudah tentunya semua ini tidak akan dapat dicapai
dan dinikmati.


Dalam konteks mendirikan sebuah masyarakat Islam, peristiwa hijrah adalah
peristiwa yang amat penting dalam sejarah Islam. Oleh sebab itulah hijrah
merupakan kewajipan utama yang mesti dilaksanakan oleh umat Islam ketika itu
kerana tanpa hijrah tersebut masyarakat Islam tidak dapat dibentuk dan justeru
itu negara Islam tidak dapat ditegakkan.


Apabila disebut `masyarakat Islam' maka akan terbayanglah kepada kita
masyarakat Islam pertama yang didirikan oleh Rasullullah s.a.w dan para
sahabatnya di Madinah sebaik sahaja baginda berhijrah ke sana pada tahun 622
Masihi.


Hijrah Rasullullah s.a.w dan para sahabat dengan segala pengorbanan dan
kesusahan adalah semata-mata kerana menyahut seruan Allah s.w.t bagi
meninggalkan buat sementara negeri Mekah menuju ke Madinah untuk mendirikan
sebuah masyarakat dan negara Islam yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai Islam
menurut ajaran Allah s.w.t dan Rasul-Nya.


Tuntutan


Oleh kerana mendirikan masyarakat Islam itu merupakan suatu tanggungjawab
yang mesti dipikul oleh setiap individu Muslim, maka semuanya telah rela
menunaikan amanah itu dengan penuh ikhlas dan jujur hingga terlaksananya
pembentukkan masyarakat dan negara Islam pertama di Madinah Al-Munauwarah.


Apabila kita imbas kembali peristiwa hijrah Rasullullah s.a.w dan para
sahabat dari Mekah ke Madinah, ia merupakan suatu implementasi daripada tuntutan
mewujudkan masyarakat Islam yang bertamadun. Ia juga merupakan suatu ujian
terhadap iman seseorang sama ada jujur atau tidak dalam mentaati perintah Allah
s.w.t dan Rasul.


Ada orang yang telah meletakkan Allah s.w.t dan Rasulnya di atas
segala-galanya, tetapi bagi orang yang tidak ikhlas kepada Islam mereka akan
mencari berbagai-bagai helah untuk melepaskan diri daripada menunaikan perintah
Allah s.w.t itu.


Akhir-akhir ini maruah dan kemuliaan umat Islam dipandang rendah oleh pihak
musuh. Oleh yang demikian umat Islam perlu melakukan hijrah untuk mengubah
keadaan umat yang sekian lama ditinggalkan oleh bukan Islam dalam pelbagai
bidang sama ada ekonomi, teknologi, pendidikan, ketenteraan dan sebagainya.


Lantaran itu, kita perlu memperbaharui tekad dan azam dengan mencontohi
perjuangan orang Islam Muhajirin yang mengorbankan tenaga, harta benda, fikiran,
ilmu pengetahuan dan lain-lainnya demi untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t.
Mudah-mudahan seluruh umat Islam dapat menempuh hidup baru dan maju ke hadapan,
sejajar dengan tujuan manusia dijadikan oleh Allah sebagai khalifah-Nya di muka
bumi ini.


Sempena tahun baru Hijrah 1427 ini, wujudkanlah kesedaran peningkatan diri
bagi setiap individu Muslim sama ada dalam hubungan dengan Allah atau sesama
manusia. Islam kini tidak lagi menuntut umatnya supaya berhijrah dari segi
geografi, tetapi apa yang dituntut adalah hijrah dalam maksud yang hakiki iaitu
dalam bentuk peningkatan amal, perubahan sikap, minda, budaya kerja dan akhlak
mulia.


Selain itu umat Islam perlu sama-sama berjihad membaharui tingkah laku untuk
berganding bahu menjaga dan mengekalkan keharmonian yang telah sedia ada dan
memperbaiki kelemahan yang ada dengan mengukuhkan dan menguatkan perpaduan kita.


Dalam masa yang sama kita melipat gandakan usaha untuk mendidik diri ke arah
yang diredhai Allah. Jadikan diri, ahli keluarga dan masyarakat kita tunduk
kepada perintah Allah dengan memperkuatkan hubungan kita dengan Allah melalui
ibadat serta mempereratkan lagi hubungan sesama manusia.


Wujudkan suasana hormat menghormati, nasihat menasihati dan keharmonian dalam
mencari jalan penyelesaian.


- A. Mohd. Rahimin Sihat ialah Penolong Pengurus Yayasan Dakwah Islamiah
Malaysia (Yadim).

Posted by Lynn Ross at 12:08 pm |

1 Comments:

At Wed Feb 01, 03:57:00 pm 2006, Blogger hamka said........
…dan tujuan hijrah Nabi ke madinah ini adalah untuk membina kekuatan islam dan pada waktu ini barulah Allah datangkan pertolongan yg berbondong2. kenapa?
Kerana NUSRAH ALLAH AKAN DATANG APABILA ADA GOLONGAN YANG BERHIJRAH KERANA ALLAH DAN ADA GOLONGAN YANG BANTU ORG YG HIJRAH TADI, maka kerana itulah, dalam perang Badar, Allah hantar 1000 malaikat walaupun satu malaikat cukup dah sebenarnya,untuk kalahkan org kapir, disini menunujukkan kesukaan Allah pada meraka yang berhjirah dan mereka yng membantu org berhijrah……dan kalau korang nak tahu golongan muhajirin dan Ansar ni (313 org ini) adalah org yang memakmurkan masjid Nabawi! Hari ni takde malaikat Bantu org islam berperang, nak Bantu camne, masjid kosong…sadis sungguh..isk..isk..